Terkini di Sejarah Sri Aman

Monday, December 3, 2007

Pentadbiran Kerajaan Negeri

Negeri Sarawak ditadbir oleh Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sendiri. Dewan Undangan Negeri merupakan kuasa tertinggi dalam menetapkan polisi di dalam negeri. Ahli Dewan Undangan Negeri bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri yang diwakili oleh pelbagai orang yang dilantik setiap lima tahun. Ia diketuai oleh Yang di-Pertua Negeri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia.

Jabatan Ketua Menteri adalah tiang pentadbiran negeri yang meletakkan pejabat Ketua Menteri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta lain-lain jabatan.


Dewan Undangan Negeri Sarawak


Dewan Undangan Negeri Sarawak kini mempunyai 62 orang Ahli yang dipilih. Seorang Ahli bagi setiap kawasan pilihanraya negeri. Luas kawasan pilihanraya adalah berbeza-beza dengan jumlah pengundi paling ramai daripada kawasan-kawasan bandar manakala kawasan luar bandar yang luas mempunyai jumlah pengundi yang kecil disebabkan masalah perhubungan.

Selepas pilihanraya umum di adakan, seseorang Ahli yang dipilih akan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri untuk tempoh lima tahun atau sehingga pilihanraya umum baru di adakan. Perlembagaan Negeri memperuntukkan bahawa Dewan Undangan Negeri mesti mengadakan persidangan sekurang-kurangnya sekali dalam setahun. Persidangan mesti diadakan kerana tiada sebarang cukai atau perbelanjaan boleh dikenakan ke atas Dana Tergabung Negeri melainkan setelah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri. Belanjawan tahunan negeri biasanya dibentangkan oleh Kerajaan Eksekutif.


Sejarah


Dewan Undangan Negeri Sarawak adalah dewan perundangan yang tertua di Malaysia. Ia ditubuhkan oleh Raja Muda Charles Brooke, atas arahan Raja James Brooke, melalui mesyuarat yang diadakan disebuah perkampungan nelayan kecil di Bintulu, Sarawak pada 8 September 1867. Dewan Undangan Negeri Sarawak mula dikenali sebagai Majlis Umum (General Council) dengan jumlah Ahli dipilih seramai 21 orang. Ahli-Ahli dipilih dari kalangan ketua-ketua kaum tempatan yang difikirkan dapat membantu dalam mentadbir wilayah-wilayah di bawah jajahan Brooke yang pada masa itu hanya meliputi kawasan-kawasan persisiran.

Council Negri, kini dikenali dengan Dewan Undangan Negeri merupakan Dewan Undangan Negeri yang tertua dan terulung sekali di dalam Malaysia.


Keahlian

Keahlian Dewan juga mengalami perubahan. Bermula dengan hanya wakil daripada kaum Bumiputra sahaja yang dilantik menjadi ahli kemudian barulah wakil-wakil kaum cina.

Fungsi


Selain daripada fungsi perundangan, Dewan Undangan Negeri mempunyai fungsi-fungsi penting yang lain seperti berikut:

  • Menjaga kedaulatan perlembagaan dan hak berperlembagaan Negeri Sarawak dan rakyat sepertimana yang dijelaskan di dalam perlembagaan.
  • Memberi khidmat kepada Kerajaan Eksekutif dan menjadi arena tumpuan bagi memeriksa dan mengeritik dasar-dasar dan pelaksanaan rancangan-rancangan kerajaan. Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan mereka bertanggungjawab secara kolektif kepada Dewan Undangan Negeri. Ini dapat disaksikan dalam prosiding Dewan semasa perbahasaan terhadap Usul Diraja, usul tidak percaya dan perbahasan terhadap dasar-dasar am kerajaan.
  • Meluluskan perbekalan. Tiada cukai atau perbelanjaan boleh dikenakan terhadap Dana Tergabung (Consolidated Fund) melainkan dibenarkan oleh undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri.
  • Mewakili rakyat. Dewan Undangan Negeri menyediakan forum kepada wakil-wakil rakyat untuk menyuarakan pendapat dan berbincang secara terbuka melalui keistimewaan berparlimen di bawah peruntukan Ordinan Dewan Undangan Negeri (Privileges, Immunities and Powers), 1963. Perkara-perkara yang disuarakan meliputi isu-isu yang menjadi tumpuan, rungutan atau masalah rakyat. Ini boleh dilakukan melalui perbahasaan biasa, rayuan-rayuan dan membangkitkan perkara-perkara yang mempunyai kepentingan awam dan sebagainya.
  • Mempertimbangan jenis dan kebaikan perundangan yang dibawa kepada Dewan Undangan Negeri serta mencadangkan pindaan bersesuaian sebagaimana yang difikirkan perlu.
  • Memeriksa akaun awam untuk mempastikan wang awam dibelanja mengikut kelulusan parlimen dan mengikut kepentingan pembayar cukai.
  • Menjadi arena perbincangan kritis terhadap kerajaan dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.
  • Mengawasi tindak-tanduk pihak pemerintah sebagaimana yang ditunjukkan semasa perbahasan am.
  • Melindungi dan mempertingkatkan kepentingan yang terbaik untuk rakyat dan negeri dengan membangkitkan isu-isu tertentu, dan meredakan rungutan semasa prosiding atau melalui cara lain yang ditetapkan oleh peraturan Dewan Undangan Negeri.
  • Melantik Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan untuk tujuan siasatan melalui perbicaraan awam dan laporan-laporan.
  • Memperkembang dan memperguna keistimewaan dan prosedur berparlimen untuk membolehkan Dewan Undangan Negeri menjalankan fungsi-fungsi berperlembagaan dan perundangan dengan lebih berkesan

No comments: